"Kalau ada member kahwin nanti aku nak bagi dia lesung batu" - Iley
Selalu kita dengar hadiah kahwin berupa alatan elektronik dan pinggan mangkuk yang fancy. Lain pula cerita kawanku Iley (nama panggilan) dalam bab memberi hadiah kahwin. Katanya, selain daripada unik, kebarangkalian nak sama hadiah dengan orang adalah 0%. (Ada betul gak apa yang dia cadangkan). Ye la, siapa yang terfikir nak beri hadiah berupa lesung batu macam tu. Tapi tak salah kan? Lesung Batu pun salah satu pekakas dapur & setiap dapur di rumah wajib ada satu. (Maaf, dapur anda tidak layak dipanggil dapur kalau takde lesung batu). So untuk Iley, aku akan kota kan kata-kata mu untuk menghadiahkan sepasang lesung batu di hari bahagia mu, okay?.
So, apa cerita lesung batu ni?
Ini cuma entri selingan memandangkan hari ini banyak pula inspirasi untuk berkarya sambil meminum teh kosong diiringi Kek Batik Toffee Melekat olahan Ku Sabtu lalu.
Beberapa minggu lepas, aku terbeli lesung batu. Asalnya aku hanya nak cari susu anak di kedai runcit biasa memandangkan kedai runcit Muthu, Ah Seng atau Pak Semail selalunya jual susu murah sikit berbanding di Hypermarket ternama. Entah kenapa aku boleh termasuk ke kedai serbaneka ala-ala kedai RM2 yang menjual pelbagai barangan dengan harga low cost. Aku pun pergi la pusing-pusing dalam kedai tersebut. Sebagai seorang suri rumah, asal nampak barangan dapur mesti sangkut kejap nak belek, padahal barang tersebut bukan dalam senarai belian. Tiba-tiba biji mata menggeletis rambangnya melihat senduk kayu & buluh yang comel-comel belako. Sesekali ku capai sebatang dua & perasan demo benda alah yang berharga RM1.95.
"Mahal. Hari tu nampak kat Econsave lebih kurang RM1.80 satu", seperti biasa, monolog seorang suri rumah yang faham kuasa sebagai seorang pengguna bijak. Aku letak balik senduk tersebut pasal aku baru beli satu sudip yang diperbuat daripada buluh. (Sungguh ringan baq hang. Sudip itu bakal ku wariskan kepada anak-anakku seperti nenek Nigella Lawson mewariskan sudu kayu kepada beliau).
Okay, berbalik kepada aktiviti merambangkan mata, aku pusing lagi ke bahagian lain & mata aku tertumpu pada penyepit makanan yang comel. Kali ini tiada fikiran kedua, (memandangkan aku ni suka masak ala-ala grilled & Korean BBQ), aku capai satu juga.
" Takpe, yang ni wajib ada pakai sepit daging BBQ. Tak pun pakai sepit botol susu anak yang sedang disteril dalam air panas menggelegak", fikirku positif walaupun harganya aku kurang setuju. (Tapi aku lebih kepada buat sepit botol susu anak, sehinggalah penyepit itu hilang minggu lepas di rumah mertua). Sehingga aku dapat beli sepit baru, maka tiadalah menu daging bakar buat sementara waktu.
Gembira dengan penyepit baru, misi mencari susu menjadi misi menambah pekakas dapur pula. Dijadikan cerita, aku ternampak lesung batu di rak bawah sekali. Bersusun elok menggoda mata. Tangan penuh dengan barangan lain (selain penyepit, aku kebas bekas plastik yang kini dijadikan sebagai bekas simpan tepung jagung & gula petang).
"RM17.95. Murah!". Aku belek satu-satu, pilih yang cantik (Padahal semua sama saja rupa). Aku gigihkan juga mengendong barang-barang tersebut bersama lesung batu laksana Beyonce mengendong anugerah MTV VMA ke kaunter.
"Alah membeli, menang memakai. Ini lah keburukan membeli belah tanpa suami di sisi".
"RM22.95. Terima kasih, datang lagi"
"Sama-sama", ujarku dengan yakin, seolah-olah berjanji akan datang lagi, sambil melirik ke arah pasu tinggi berkaca di rak atas.
Nafsu sudah dipuaskan. Siapa sangka membeli lesung batu boleh menjadi terapi yang melegakan.
For the record, lesung batu tersebut hanya pernah digunakan sekali. Itu pun untuk melenyek kentang rebus untuk dibuat begedil.
Gambar hiasan: Bukan lesung batu. Tapi lesung pipit Encik Suami. (Gambar Selfie bujang - bujang dulu. Ala-ala Brit Indie-pop)
No comments:
Post a Comment